Friday, June 5, 2009

Kalimah Toyyibah

Kalimah Toyyibah


Kalimah ini ialah suatu pengakuan suci yang dibuat oleh manusia terhadap Allah s.w.t.. Apabila seseorang mukmin membaca kalimah ini, dia dengan segala kesungguhan hatinya mengakui yang dia seorang hamba Allah s.w.t. yang beriman, mematuhi segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. oleh yang demikian seseorang yang membaca kalimah ini terpaksa mengingati empat perkara penting yang bersangkut paut dengannya.
1. Dia mesti tahu lafaz-lafaznya dengan tepat,
2. Dia mesti tahu terjemahannya yang tepat,
3. Dia mesti tahu maknanya yang tepat,
4. Dia mesti tahu bagaimana hendak beramal sesuai dengan kehendak-kehendaknya.


Lafaz kalimah Toyyibah
Kalimah ini terbahagi kepada dua bahagian;
1. Laaaaaailaahaillallaah
2. Muhammadurrasullullah

Terjemahan kedua2 bahagian ini ialah " tidak ada sesuatu yang selayaknya disembah melainkan Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. ialah pesuruhNya yang sebenar.


Makna Kalimah Toiyibah

Apabila seseorang mukmin mengaku tidak ada sesuatu yang selayaknya disembah melainkan Allah s.w.t., dia sudah semestinya menyembah hanya Allah s.w.t. sahaja. Dia bukan sahaja tidak boleh menyekutui Allah s.w.t. dengan sesuatu yanglain bahkan dia tadak boleh mengkompromikan dasar-dasar islam dengan yang lain. Dia mesti menganggap allah s.w.t. sebagai pemimpin dan penolongnya, menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah s.w.t., mematuhi segala perintahnya dan menjauhi segala adat rasminya yang berlawanan dengan hukum-hukum Allah s.w.t.. Segala urusannya di dunia ini mestilah berdasarkan ajaran-ajaran Al-Quran. Dia sepatutnya mengharapkan belas kasihan Allah s.w.t., menakuti kemurkaannya dan menyakini yang segala gerak langkahnya diperhati oleh Allah s.w.t..

Seperti yang tersebut di atas tadi bahagian kedua daripada kalimah Toiyyibah berbunyi, " Muhammadurrasullullah", selepas mempercayai keesaan Allah s.w.t. seseorang itu mesti mengikuti segala perintahnya. ini tidak dapat dilaksanakan tanpa menjadikan Muhammad s.a.w. sebagai contoh pimpinannya. Dia menyembah Allah s.w.t. kerana disuruh oleh Muhammad s.a.w. dan Muhammad s.a.w. membawa ajarannya bukan kehendak hatinya atau pun dengan mengikut hawa nafsunya. Mematuhi segala suruhan Muhammad s.a.w. bermakna mematuhi segala perintah Allah s.w.t. dan mencintai Muhammad s.a.w. bermakna mencintai Allah s.w.t.. Pendek kata kepatuhan kepada ajaran nabi besar Muhammad s.a.w. ialah suatu kewajipan bagi seseorang yang membaca dan memahami kalimah syahaadah ini. Segala ajarannya mengenai Malaaikat, Takdir, Syurga, Neraka dan Kejadian-kejadian dalam kubur sepatutnya dipercayai. Dia mencontohi cara hidup Muhammad s.a.w. yang telah diridai oleh Allah s.w.t.,menyeleweng dari tunjuk ajar nabi s.a.w. bermakna menyeleweng dari jalan yang lurus yang mengakibatkan kehilangan kasih Allah s.w.t. terhadapnya.

Kehendak Kalimah Toiyibah

Apabila seseorang muslim telah berpegang teguh dengan kalimah ini, dia dikatakan telah menjadi seorang mukmin yang sebenarnya. Dia hendaklah meninggalkan segala larangan Allah s.w.t. dan mengamalkan suruhannya. Nabi s.a.w. bersabda bahawa kesan yang pertama yang diperolehi daripada pembacaan Laaaaailaahaillallah ialah meninggalkan perkara-perkara jyang mungkar.Maka oleh yang demikian seseorang yang membaca kalimah suci ini seharusnya mengigatinya pada setiap waktu, waktu perkahwinan, waktu menghadapi maut, waktu hendak tidur, waktu bangun daripada tidur dan seterusnya. 

Faedah Kalimah Toiyibah

Kalimah ini banyak mengandungi faedah rohani. Mengikut junjungan kita nabi Muhammad s.a.w. " Seafdal-afdal zikir adalah Laaaaailaahaillallah", Katanya lagi " bacalah kalimah ini sebanyak seratus kali setiap hari kerana tidak ada kebaikkan yang lebih baik daripadanya."   Dalam sebuah hadis yang lain baginda s.a.w. bersabda" sesiapa yang membaca kalimah Laaaaailaahaillallah seratus kali pada waktu pagi dan seratus kali pada waktu petang, ganjaran yang akan diterimanya ialah sebanyak ganjaran yang diterima oleh orang yang telah membebaskan 10 orang hamba dari keturunan nabi Ismail a.s. dan dalam sebuah hadis yang lain pula baginda s.a.w. berkata " Perbaharuilah keimanan kamu dengan membaca kalimah Laaaaailaahaillallah. dan dengan mengamalkan dengannya.